19 Oktober 2016 - 13:07
Nama ‘Anjing’ Antara Penghalang Auntie Anne Dapat Sijil Halal

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) belum dapat memberikan sijil halal kepada rangkaian francais menjual pretzel, Auntie Anne, dan antara alasannya ialah salah satu produk dinamakan sempena nama anjing, “pretzel dog”.

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) belum dapat memberikan sijil halal kepada rangkaian francais menjual pretzel, Auntie Anne, dan antara alasannya ialah salah satu produk dinamakan sempena nama anjing, “pretzel dog”.

Seorang eksekutif Auntie Anne yang bertanggungjawab mengenai kualiti dan jaminan halal syarikat itu berkata, ia kini mengemukakan cadangan nama baharu kepada dan menunggu keputusan panel Jakim.

“Nama menu ‘Pretzel Dog’ haruslah ditukar kepada nama yang lebih sesuai. Saya telah mencadangkan beberapa nama baru dan masih menunggu keputusan mesyuarat panel dari pihak Jakim,” kata Farhatul Kamilah Mohamed Sazali dalam kiriman Facebook menjelaskan status halal majikannya.

“Setelah kami mendapat keputusannya, kami harus menukar kesemua menuboard sebelum proceed kepada permohonan baru.”

Farhatul berkata Jakim juga mahu Auntie Anne membuat permohonan sijil halal bagi dapurnya yang menjadi pusat memakej bagi semua cawangannya.

Menurutnya, beliau perlu memenuhi syarat Jakim supaya permohonan sijil halal untuk semua 45 cawangan dilakukan secara berasingan.

“Situasi ini juga pernah berlaku kepada jenama Sushi King,” katanya.

Farhatul menasihatkan pengguna Islam yang was-was mengenai status halal Auntie Anne supaya jangan memakannya sehingga permohonan mereka berjaya.

“Bagi yang was-was tapi mahu juga mencuba pretzel Auntie Anne’s, saya cadangkan anda menunggu sehingga kami disahkan halal terlebih dahulu kerana perkara yang syubhah sudah jatuh haram untuk kita memakannya.”

Catatan Farhatul di Facebook mengundang lebih 7,000 perkongsian dengan pelbagai komen.

Salah seorang pengguna Facebook menyindir sama ada tuntutan sama akan dibuat Jakim ke atas produk yang menggunakan nama “dog”.

“Sijil halal bagi pengusaha sandwich tuna, sandwich sardin, ban hot dog, sandwich telur mayonis, yang supply di stesen minyak Petronas tu pun kena ada sijil halal,” tulis Izar Zulkefli.

Oleh: FMTReporters